Saturday, 7 May 2016

7 Tip membantu anak agar rajin untuk membuat kerja sekolah (Homework) yang boleh anda cuba.



Kali ini Deko Rumah DIY nak lari topik sikit. Pasal kerja sekolah anak-anak, ya! Kerja sekolah. Bagi yang dah ada anak yang bersekolah selalu akan “berperang” bila nak suruh anak-anak menyiapkan kerja sekolah. Bukannya semua anak-anak macam tu, tapi biasalah kadang-kadang nak kena marah, ugut nak rotan, atau janji nak bagi gula-gula baru la nak buat “homework”. Jadi kali ini kami nak “share” kan sedikit tip yang boleh anda cuba untuk membantu anak-anak agar lebih bersemangat atau buat kerja sekolah tanpa kena paksa, InsyaAllah.





Tip #1 Buat jadual

Buat sebagai rutin. Jadual ini hendaklah pada masa yang sama setiap hari supaya konsisten. Biar anak-anak tahu masa yang mereka akan kena buat kerja sekolah. Bila sudah ada jadual, pastikan anda dan anak berpegang kepada jadual itu. Mungkin mengambil masa untuk membiasakan diri, tapi anda harus buat secara berterusan. Dengan adanya jadual tetap, menunjukkan kepada anak yang anda memetingkan pembelajaran.

Tip #2 Persediaan sebelum membuat kerja sekolah




Buat rutin yang mudah dan ringkas. Maklumkan anak-anak yang masa untuk buat kerja sekolah bakal bermula lagi 5 minit atau 10 minit, supaya mereka bersedia dan menukar mood kepada pelajaran pula. Minta mereka membuat perkara yang menjuruskan minda mereka kepada kerja sekolah, seperti menyiapkan meja “study”, keluarkan kerja sekolah, pensil, pemadam dan sebagainya.


Tip #3 Pilihan anak-anak

Minta anak rancang pilihan


Jika boleh (bergantung , jika keadaan mengizinkan), bagi peluang untuk anak anda untuk membuat pilihan masa untuk membuat kerja sekolah. Sama ada nak terus buat sebaik sahaja pulang dari sekolah , sebelum atau selepas makan malam. Atau mereka boleh pilih untuk bangun awal pagi dan buat kerja sekolah. Satu pilihan yang anak anda TIDAK ada ialah untuk  tidak membuat kerja sekolah.


Tip #4 Bantu sekadarnya

Bantu sahaja untuk dapatkan, jangan bagi jawapan

Bantulah anak-anak sekadarnya. Bantu jika mereka meminta bantuan. Jangan selesaikan permasalahan atau kerja sekolah untuk anak-anak. Dalam kata lain jangan beri jawapan untuk kerja sekolah mereka.

Bila anak beritahu , “saya tak pandai buat la”, balas “boleh tu, cuba fikir betul-betul”. Bagi dorongan dan galakkan. Kemudian biarkan anak untuk cuba selesaikan dahulu. Jika anak beritahu masih tak dapat jawapan atau minta bantuan untuk menyelesaikan masalah, bolehlah bantu dengan bertanya, JANGAN bagi jawapan.

Tanya antara soalan berikut untuk bantu mereka :

“Apa jawapan yang dapat?”
“Bahagian mana yang tak faham?”
“Boleh bagi contoh yang lain?”
“Apa jawapannya yang awak rasa?”

“Apakah cara yang cikgu dah ajar untuk menyelesaikan masalah ini?”

Tip #5 Mengatur kehidupan


Didik anak supaya lebih teratur. Anak-anak sekolah biasanya belum pandai mengatur. Luangkan banyak masa untuk didik anak mengatur kehidupan. Contohnya selepas selesai kerja sekolah dan belajar barulah boleh bermain atau membuat aktiviti lain. Ajarkan mengatur dengan betul, yang mana satu keutamaan yang mana satu tidak, mengatur masa, menyelesaikan perkara mengikut keutamaan. Didikan ini amat berguna dalam kehidupan anak untuk jangka masa panjang.


Tip #6 Kata-kata perangsang



Gantikan ganjaran seperti duit, aiskrim, gula-gula dan lain-lain dengan kata-kata perangsang atau semangat. Ganjaran “rasuah” seperti ini hanya memberi kesan untuk tempoh yang pendek. Sebaliknya berilah ganjaran dengan perbuatan atau kata-kata positif. Contohnya:

“Cantik tulisan adik, nanti senang cikgu baca”

“Mak/Ayah nampak kamu belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan nanti, mak/ayah doakan awak dapat keputusan yang cemerlang Insyaallah”

“Bagus! mak dan ayah suka tengok kamu rajin macam ni”

Gunalah ayat sendiri, atau kata-kata perangsang yang sesuai dengan keadaan keluarga anda ya.


Tip #7 Tanggungjawab bersama dan suasana yang kondusif


Masa anak sedang membuat kerja sekolah pastikan “mood” atau suasana rumah sesuai dengan “mood” pembelajaran, tutup televisyen, jangan ada aktiviti yang bising atau yang boleh menggangu tumpuan anak. Jadikan masa belajar sebagai komitmen bersama oleh seluruh keluarga. Jika anda tak dapat memberikan komitmen, jangan harap anak untuk memberikan komitmen dan berdisplin juga.

Tip #8 Ruang belajar yang sesuai






Sediakan satu ruang untuk anak belajar atau membuat kerja sekolah. Jika kita boleh adakan ruang untuk televisyen, bilik komputer dan sebagainya, cuba usahakan juga satu sudut untuk anak membuat kerja sekolah dan menelaah pelajaran. 


Akhir sekali cubalah mana-mana tip diatas yang bersesuaian dengan anda. Sabar dan istiqomah. InsyaAllah akan ada kesan.